Allah Taala Maha Pengampun

Sesungguhnya Allah SWT bersifat dengan sifat pengampun dan pemaaf kepada hambanya.Semua dosa diampunkan oleh Allah SWT,sama ada dosa kecil atau dosa besar, hatta dosa syirik.Syaratnya mestilah bertaubat dengan taubat nasuha, cukup dan sempurna syarat-syaratnya.Firman Allah SWT dalam surah Az Zumar ayat 53 :
…إن الله يغفر الذنوب جميعا…
Sesungguhnya Allah Taala mengampukan dosa semuanya…

Terdapat dosa yang diampunkan Allah SWT disebabkan kita melakukan kebaikan.Kebaikan itu menjadi penghapus dosa.Contohnya mengambil wuduk, bersedekah dan seumpamanya.Bertaubat dalam Islam tidak perlu kepada perantara, pesalah boleh secara terus berhubung dengan Allah SWT pada bila-bila masa dan tempat.

Taubat ialah kembali taat kepada Allah s.w.t dan menyesal dengan bersungguh-sungguh terhadap dosa yang telah dilakukan sama ada dosa besar mahupun dosa kecil serta memohon keampunan dari Allah. Setiap individu disuruh bertaubat untuk menyucikan diri dari dosa besar dan kecil, sama ada dilakukan dengan sengaja mahupun tidak.
Hukum bertaubat adalah wajib sama ada dosa kepada Allah s.w.t mahupun dosa sesama manusia. Jika dosa itu berkaitan dngan manusia, hendaklah meminta maaf daripada manusia terbabit. Sekirannya dosa berkaitan dengan harta benda, hendaklah dikembalikan harta tersebut kepada tuannya. Bertaubat kepada Allah hendaklah dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan hati yang ikhlas kerana taubat yang tiada keikhlasan tidak mendatangkan apa-apa kesan terhadap individu terbabit. Taubat yang terbaik adalah taubat yang penuh penyesalan, keinsafan dan rasa rendah diri kepada Allah s.w.t. Di dalam Islam, digariskan cara-cara memohon keampunan dan rahmat Allah s.w.t :
1. Menyesal, menginsafi & berazam tidak akan mengulangi dosa yang telah dilakukannya
2. Beristighfar memohon keampunan Allah s.w.t
3. Beramal kebajikan
4. Mensyukuri nikmat Allah s.w.t.
5. Berdoa memohon kesejahteraan hidup di dunia & hari Akhirat


About this entry